Blog EntryBoros punca kehancuranMay 22, '07 9:25 PM
for everyone

Boros punca kehancuran


DARIPADA Jabir katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang diberi suatu pemberian, maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila meninggal menjadi milik keturunannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Harta adalah amanah Allah SWT kepada umat manusia yang harus disyukuri dengan cara membelanjakannya di jalan diperintah agama. Itulah bekalan amalan yang akan dibawa ke akhirat kelak.

Keserakahan akibat terlalu cinta terhadap harta akan menjadikan seseorang itu mendapat kemurkaan Allah seperti yang berlaku terhadap Qarun yang ditelan bumi bersama harta miliknya.

Bagi mengekalkan keselesaan di dunia, Islam menolak tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada mewah kepada menderita dan papa kedana iaitu sikap suka berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran umat terdahulu.

Pembaziran harta juga disebut sebagai memusnahkan harta benda sama ada secara disedari atau tidak seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelenggarakan rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help