Blog EntryPemahaman cetek, tamak punca babit rasuahOct 27, '07 7:09 AM
for everyone

Pemahaman cetek, tamak punca babit rasuah


KITA bangga dengan kesungguhan kerajaan dalam usaha membendung dan menghapuskan gejala rasuah yang sudah lama menular dalam masyarakat

Usaha itu selari dengan firman Allah yang bermaksud: �Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, maka pasti binasalah langit dan bumi dan segala yang ada di dalamnya.� � (Surah al-Mukminun, ayat 71)

Biarpun ramai menyedari perbuatan makan suap atau rasuah adalah haram, dibenci Allah dan undang-undang dunia, gejala rasuah terus berkembang di kalangan masyarakat, sama ada di peringkat atasan atau bawahan.

Dua kemungkinan yang membawa kepada hebatnya gejala ini dengan terus berleluasa di kalangan masyarakat adalah kerana ketidakfahaman terhadap istilah rasuah itu sendiri dan kedua, kuatnya perasaan tamak dan haloba untuk memiliki kekayaan atau kemewahan dengan cepat.

Perbuatan tumbuk rusuk ini bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat moden. Justeru, ia dianggap sebagai suatu perbuatan biasa dan lazim dalam kehidupan seharian menyebabkan gejala rasuah kini antara penyakit sosial yang begitu sukar diubati.

Dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara, rasuah menjadi ancaman yang cukup berbahaya. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan negara yang bakal melahirkan sebuah masyarakat kucar-kacir dan menjadi penyumbang kepada keruntuhan sesebuah bangsa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: �Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri.�

Rasulullah SAW mengutuk sesiapa saja yang memperoleh harta dan wang ringgit melalui amalan rasuah. Khalifah Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya juga sentiasa melafazkan perkataan amat berat dan kasar kepada pengamal rasuah.

Kekeliruan dan kejahilan seseorang individu mengenai rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman yang cetek terhadap kalimah rasuah yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata.

Rasuah bukan saja membabitkan penggunaan wang, turut merangkumi aspek kehidupan lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh masa ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng dalam melakukan tindakan dan perbuatan.

Pengamal rasuah biasanya akan lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan pelbagai bentuk sogokan. Sogokan itu mungkin dalam bentuk hamper, buah tangan, hadiah, cenderamata atau apa saja yang dianggap sebagai perantara dan pemangkin kepada tercapainya sesuatu keinginan seseorang.

Manusia yang mengamal rasuah jarang memikirkan bahawa segala tindak-tanduk mereka sebenarnya adalah salah bentuk penganiayaan yang sengaja mereka rancang untuk menindas orang lain.

Mereka yang tidak berhak diberikan hak dengan cara batil, sementara yang berhak sudah pasti akan kehilangan peluang walaupun mereka sebenarnya mempunyai kemampuan dan kudrat melaksanakan sesuatu amanah dan tanggungjawab tertentu.

Justeru, pengamal rasuah yang hidup saling tindas menindas ini semakin alpa dengan tuntutan agama. Kemewahan dan kekayaan segera yang diperoleh menutup pintu hati mereka daripada mengingati Allah, bahkan seperti sengaja menimbun dosa dan noda akibat perbuatan sendiri.

Rasulullah SAW sering berpesan kepada pegawai dan pentadbir di zaman Baginda supaya tidak menunjukkan kemewahan hidup yang mereka ada terutama sewaktu berurusan dengan orang ramai.

Baginda pernah berkata kepada Muaz bin Jabal yang dilantik menjadi duta di Yaman. �Wahai Muaz, jauhilah hidup kamu daripada keadaan serba mewah kerana hamba Allah yang setia bukanlah begitu sifatnya.�

Muaz mematuhi pesanan Rasulullah SAW kerana tidak ingin menderhaka kepada Allah dan tidak mahu tergolong dalam golongan umat Muhammad sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: �Nanti akan ada di kalangan umatku yang memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai beraneka jenis pakaian dan mereka bijak pula bercakap, berbual dan membelitkan lidah. Mereka itulah penjahat dalam umatku.� � (Hadis riwayat al-Tabrani)

Seorang pegawai Rasulullah SAW di Bahagian Perbendaharaan negara yang menjalankan tugasnya sebagai pemungut cukai bertemu Rasulullah SAW untuk menyerahkan hasil kutipan cukai kepada Baginda.

Kata pegawai berkenaan: �Ya Rasulullah, inilah hasil negara dan ini pula hadiah untuk saya.� Mendengar hal itu, air muka Rasulullah SAW segera berubah, lalu Baginda berkata: �Aku sudah mengangkat seorang pegawai untuk satu pekerjaan. Sesudah dia bertugas, ada pula hak untuk negara dan hak untuk dirinya. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya dia akan mendapat hadiahkah sekiranya dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang bukan hak kamu supaya kamu tidak diseksa kerana wang atau pemberian itu di hari akhirat kelak.�

Gejala rasuah banyak mencetuskan kes jenayah seperti peras ugut, membunuh, dendam dan pelbagai gejala lain yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhannya. Ini kerana pengamal rasuah tidak mampu menggunakan akal dengan rasional kerana jiwa dan hati mereka sudah jauh terpesong daripada landasan syariat yang sebenarnya.

Mereka sudah hilang rasa kasihan dan kemanusiaan sebaliknya akan mudah berkelakuan ganas dan zalim apabila tidak memperoleh apa yang diidami. Sudah tidak ada lagi rasa keinsafan dan kesedaran dalam diri bahawa mereka adalah milik Allah dan bakal kembali kepada Allah.

Mereka juga lupa bahawa segala amalan dan tindak tanduk mereka seharian bakal dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak.

Larangan terhadap perbuatan rasuah dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: �Allah melaknat orang yang menyogok dan minta disogok.� � (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Hibban)

Laknat Allah ini bukan saja kepada pemberi, malah penerima rasuah kerana jelas kedua-duanya melakukan kezaliman. Allah berfirman yang bermaksud: �Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. Lalu kamu membawa urusan harta itu kepada hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan harta setengah kamu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahuinya.� � (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Sebagai insan mukmin yang cintakan kemurnian hidup, maka marilah kita berganding bahu membendung gejala rasuah daripada terus merebak di kalangan umat Islam. Melalui tugasan, amanah dan tanggungjawab yang dipikul, kita sebenarnya boleh memainkan peranan bagi membasmi penyakit sosial yang amat dikutuk Allah ini.



Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help