Ulul Albab: Al-Quran sebagai panduan kajian sains


JIKA kita tanyakan kepada pelajar Muslim dalil kewajipan mendirikan solat lima waktu sehari semalam, mereka dengan lancar menjawab dengan memetik ayat yang berbunyi: "Aqimus-solah". Jika ditanyakan juga kepada mereka apa dalil kewajipan mengeluarkan zakat mereka tidak teragak-agak untuk menjawab dengan mengutip ayat yang berbunyi: "Wa atuz-zakah". Jika kita tanyakan lagi, sebagai contoh ketiga, kepada mereka dalil kewajipan berpuasa pada Ramadan, mereka juga dengan mudah akan menjawab dengan memetik ayat yang berbunyi "...kutiba 'alaikum al-siyam."

Tapi, jika kita tanyakan kepada mereka ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai graviti bumi, mereka akan menjawab: "Adakah?" Jika kita tanyakan juga mengenai ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai putaran bumi, planet dan bintang, mereka juga akan menjawab: "Adakah?" Dan jika kita tanyakan lagi, sebagai contoh ketiga, kepada mereka mengenai ayat al-Quran yang menjelaskan kewujudan lapisan ozon di angkasa, mereka akan lagi menjawab: "Adakah?"

Mengapa pelajar mengetahui jawapan untuk contoh permasalahan pertama di atas dan tidak mengetahui jawapan untuk permasalahan kedua? Mereka boleh menjawab dengan dalil khusus setiap permasalahan dalam contoh pertama tapi mereka dengan seragam mengatakan "Adakah?" dalam menjawab permasalahan kedua. Padahal mereka juga semestinya mengetahui jawapannya kerana kedua-dua permasalahan berkenaan disebut dan dinyatakan dalam al-Quran, kitab panduan umat manusia.

Percanggahan minda di atas adalah salah satu natijah daripada pemisahan agama dan dunia yang memberi kesan dalam pengukuhan pendirian diri Muslim bahawa al-Quran hanya untuk keagamaan dan ia tidak ada kena mengena dengan keduniaan khususnya sains. Al-Quran hanya untuk solat, zakat, puasa dan sejenisnya dan ia tidak menyentuh permasalahan berkaitan dengan keduniaan termasuk sains. Satu minda yang perlu diperbetulkan paradigmanya. Satu minda yang perlu diluruskan jalannya.

Selama ini dalam sistem pendidikan formal mahupun tidak formal, mata pelajaran berkaitan dengan ayat al-Quran tertumpu pada tafsir ayat hukum, Tafsir Ayat al-Ahkam atau Fiqh al-Kitab. Kita hampir tidak menjumpai ada mata pelajaran tafsir ayat ekonomi, tafsir ayat sosial, ayat budaya, ayat sains dan lain-lain kecuali akhir-akhir ini.

Kita selama ini dibentuk untuk menjadi masyarakat 'fiqh-minded' yang berorientasikan ini halal dan itu haram. Kita tidak dididik untuk menjadi 'khalifah-minded' yang berorientasikan pentakmiran bumi yang diciptakan Allah untuk dibangunkan oleh manusia. Kita didedahkan dengan ribuan hukum hasil ijtihad ulama berdasarkan lebih kurang 200 ayat hukum yang pada akhirnya menyempitkan gerak geri kehidupan kita. Kita tidak didedahkan dengan ribuan manfaat dan ribuan mudarat kemanusiaan daripada hasil kajian dan pemikiran cendekiawan ketika mentafsir baki ayat al-Quran yang pada akhirnya boleh lebih mensejahterakan dan memberikan keselesaan hidup. Kita pada zaman IT ini masih disibukkan dengan isu khilafiah dan bidaah membidaahkan yang menjejaskan fikiran, tenaga, harta dan perpaduan umat. Padahal yang kita perlukan sekarang adalah bagaimana memakmurkan, memperkukuh dan memperkuat umat agar setara dengan bangsa dan umat lain agar mereka tidak memperolok-olok kita. Dengan demikian maka kita adalah 'antumul-'a'launa' seperti dinyatakan al-Quran yang maksudnya: "Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman." - (Surah Al- 'Imran: 139)

Oleh itu, adalah satu kemestian pada hari ini kita lebih memperluas dan melebarkan skop kajian al-Quran dalam semua bidang kehidupan manusia dan tidak hanya memfokuskan pada masalah hukum. Dalam bidang sains kita boleh mentafsir ratusan ayat, ada yang mengiranya 750 ayat (lebih banyak dari ayat hukum), yang berkaitan dengannya. Dari 750 ayat berkenaan ada beberapa ayat berkaitan dengan angkasa boleh dijadikan panduan bagi Program Angkasawan Negara yang baru-baru ini dilancarkan sempena Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa.

Kajian sains dalam al-Quran tidak mendapat perhatian selayaknya daripada ulama sehinggalah seorang ulama abad ke-20 iaitu Syeikh Tantawi Jauhari yang menulis tafsir sains dalam kitabnya yang terkenal Al-Jawahir ditulisnya sekitar tahun 1920-1930. Dalam kitab tafsir ini, pentafsir banyak mendedahkan penemuan sains sampai tahun penulisannya.

Menurut Prof Dr Joe Leigh Simpson, Pengerusi Jabatan Obstetrics dan Gynecology Amerika Syarikat yang mengkaji ayat dan hadis berkaitan janin beberapa tahun lalu, di mana beliau mengesahkan kebenarannya bahawa agama boleh memandu usaha pencarian ilmu. Beliau berkata: "Justeru, saya berpendapat bukan hanya tiada percanggahan antara fakta genetik dan agama, tetapi lebih daripada itu agama boleh memandu sains dengan adanya wahyu Tuhan yang boleh menolong dalam pengkajian sains. Memang ada ayat al-Quran yang terbukti benar oleh penemuan sains." (the Truth)

Namun, pihak Barat menolak kemungkinan ini. Tapi kini sudah ada seorang ahli sains Amerika yang yakin bahawa agama, khasnya Islam, boleh mempertemukan agama dan ilmu dengan jayanya.

Sebagai perbandingan, bayangkan anda pergi ke sebuah kilang dan anda membawa bersama buku panduan mengenai kilang itu. Sudah tentu anda dapat memahami perjalanan kilang itu dengan senang disebabkan anda ada buku panduannya.

Tanpanya, mungkin sukar untuk anda memahami perjalanan kilang berkenaan.

Seharusnya umat Islam memulakan pengkajian ilmu dan mereka berupaya mengangkat ilmu ke tempat yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi umat Islam tahu bagaimana menggunakan ilmu untuk membuktikan kewujudan Allah Yang Maha Besar dan Maha Suci dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?" - (Surah Fussilat, 41: Ayat 53)

Selepas menyedari melalui contoh keajaiban sains di dalam al-Quran dan daripada maklum balas saintis sendiri, marilah kata tanya beberapa soalan ini:

  • Adakah satu kebetulan saja bahawa penemuan terbaru sains di pelbagai bidang itu dinyatakan dengan tepat mengenai di dalam al-Quran?
  • Mungkinkah al-Quran itu ditulis oleh Nabi Muhammad SAW atau oleh suatu yang bukan manusia?

    Hanya ini saja jawapan yang munasabah: al-Quran itu adalah perkataan Allah SWT.

Penguasaan sains boleh membawa keamanan bagi manusia. Dalam al-Quran dikisahkan mengenai Zulqarnain iaitu seorang raja yang beriman lagi salih yang dikurniakan oleh Allah memegang kekuasaan pemerintahan di bumi dan diberi pelbagai kemudahan untuk memerintah dengan adil. Dengan kepakaran sains ketika itu, beliau boleh memberikan keamanan dan kedamaian kepada satu golongan manusia yang selalu diganggu oleh bangsa lain. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: "Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Ya'juj dan Ma 'juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi," sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, diapun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu", sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar." � (Surah al-Kahfi: 93-98)

Dengan dijadikannya tafsir ayat sains dalam sistem pendidikan maka ia akan menambah pemupukan rasa keimanan yang mendalam dalam diri pelajar seperti tafsir ayat hukum membuktikannya selama ini. Kemudian ia juga akan merangsang dan memotivasi keinginan mereka untuk mempelajari keajaiban sains yang menakjubkan. Jika selama ini kita dihidangkan dengan kajian hukum Islam dan perbezaan pendapat mengenainya di mana ia memperbanyak khazanah ilmu umat Islam, maka biarkanlah pada masa hadapan generasi umat Islam diperluaskan lagi mindanya dengan kajian sains yang dipandu ayat al-Quran.

Kerana keyakinan terhadap kebenaran ayat hukum al-Quran adalah sama dengan keyakinan terhadap kebenaran ayat sainsnya. Sesiapa saja yang membezakan kedua-duanya maka dia termasuk golongan beriman kepada sebahagian al-Quran dan ingkar kepada sebahagiannya yang lain.

Dalam suasana Aidilfitri ini, penulis mengucapkan selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin. Taqabbalallahu Ta'atakum.

INTI PATI:
  • Selama ini dalam sistem pendidikan, mata pelajaran berkaitan dengan ayat al-Quran tertumpu pada tafsir ayat hukum, Tafsir Ayat al-Ahkam atau Fiqh al-Kitab. Kita hampir tidak menjumpai ada mata pelajaran tafsir ayat ekonomi, tafsir ayat sosial, ayat budaya, ayat sains dan lain-lain kecuali akhir-akhir ini.
  • Kajian sains dalam al-Quran tidak mendapat perhatian selayaknya daripada ulama sehinggalah seorang ulama abad ke-20 iaitu Syeikh Tantawi Jauhari menulis tafsir sains dalam kitabnya yang terkenal Al-Jawahir sekitar tahun 1920-1930.



Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help