Jendela Hikmah: Mukmin dituntut semai sifat pemaaf, toleransi
AIDILFITRI sering dikaitkan dengan sifat bermaaf-maafan. Sifat pemaaf antara sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Beberapa ayat al-Quran menekankan keutamaan bermaafan.
Orang yang bersifat pemaaf ini adalah golongan insan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa dilampias dengan rasa dendam dan rasa sakit hati. Perasaan insan pemaaf selalunya akan bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam kesumat dan digantikan pula dengan sikap suka memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.
Sempena Syawal, insan yang bersifat dan berhati mulia ini akan sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang akan dilimpahi Allah kepadanya lantaran memartabatkan kemaafan bagi mengisi Aidilfitri yang begitu bermakna ini.
Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan kepahitan.
Perlu difahami walaupun setiap insan digalakkan menyuburkan dalam diri masing-masing dengan sifat pemaaf, namun Allah menegaskan seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri dan membalas kezaliman itu. Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan itu hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.
Pada waktu dan saat beginilah, Allah menuntutnya hamba-Nya segera menyemai dalam diri dengan sifat pemaaf dan toleransi. Allah berfirman dalam surah as-Syuara� ayat 39-40 bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka, sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim".
Umum mengakui bahawa penyebaran fitnah dan pembohongan adalah suatu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itulah ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah terbabit.
Abu Bakar juga dengan drastik memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai dan rakan yang turut terbabit dalam peristiwa penyebaran berita dusta itu.
Tindakan Abu Bakar itu rupa-rupanya tidak disukai Allah. Lalu Allah menurunkan wahyu melalui Rasulullah bagi memberi teguran tegas-Nya seperti mafhum ayat 22, surah an-Nur: "Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi".
Demikianlah tegasnya Allah dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya. Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa yang lama. Sebaliknya jika kejahatan itu dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padam api kemarahan dan terurai rasa dendam yang terpendam dalam diri.
Aisyah pernah menyatakan bahawa: "Rasulullah tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang pada jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah." (Hadis riwayat Muslim).
Anas pula menceritakan, "Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah di mana pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: "Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki." Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun kabulkan permintaan orang itu." (Riwayat Muttafaq Alaih).
Ramai ulama turut menyifatkan bahawa sifat pemaaf boleh merujuk kepada dua sempadan yang ditentukan Islam dalam menghadapi sesuatu kejahatan.
Pertama � Memaafkan kesalahan orang lain bagi yang terlanjur berbuat dosa.
Kedua � Dihukum setimpal dengan kesalahannya. Hukumannya yang lebih berat mungkin boleh diambil termasuk Qisas.
Hukuman itu adalah sebagai pengajaran dan iktibar kepada mereka yang terbabit dan kepada semua muslimin secara keseluruhannya.
Sifat pemaaf juga adalah suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga boleh membutakan si pembuat kesalahan itu berasa malu dan seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.