Sifat orang beriman
MEREKA (para penjual jiwa raga dan harta) adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang rukuk dan sujud, yang menyuruh melakukan makruf dan melarang melakukan kemungkaran dan yang memelihara hukum-hukum Allah, dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman. (at-Taubah: 112)
HURAIAN
Allah s.w.t. memuji bagi hamba-hambanya yang rela menjual jiwa dan raganya serta hartanya kepada Allah s.w.t. dengan balasan syurga. Orang-orang yang sanggup melakukan jualan ini dan mengadakan urusniaga ini ialah golongan manusia yang terpilih yang mempunyai sifat-sifat yang istimewa.
Di antaranya ialah sifat-sifat yang berkaitan dengan diri sendiri dalam hubungan secara langsungnya dengan Allah s.w.t. dalam bidang perasaan dan syair-syair ibadat dan di antaranya pula ialah sifat-sifat yang berkaitan dengan tugas-tugas kerja yang harus dipikul oleh mereka di luar diri mereka untuk menegakkan agama Allah s.w.t. di muka bumi.
Mereka ini disifatkan orang-orang yang bertaubat dari dosa-dosanya, beribadat kepada tuhannya dalam kata-kata dan perbuatannya, memuji kepada Allah s.w.t., berpuasa, meninggalkan makanan dan minuman yang lazat, melakukan solat dengan rukuk dan sujud dan di samping itu melakukan solat dengan rukuk dan sujud dan disamping itu mereka menuntut dan mengajak kepada jalan kebaikan dan melarang mereka melakukan perkara mungkar dan menghormati hukum-hukum Allah s.w.t. sama ada terhadap dirinya atau terhadap orang lain. Allah s.w.t. memberikan khabar gembira bagi orang-orang mukmin kerana iman itu menjangkau semua sifat yang baik.
KESIMPULAN
Setiap hamba mengharapkan suatu balasan atas setiap usaha yang dilakukan. Usaha-usaha yang murni ini sekiranya dilakukan dengan cara yang baik dan bukan sahaja akan mendapat pujian dari makhluk malah akan di balas oleh Allah s.w.t. di akhirat dengan balasan yang tinggi iaitu Syurga Allah s.w.t.