Ikhlas dalam berdakwah kepada Islam
WAHAI kaumku, Aku tidak meminta wang dari kamu (sebagai upah) kerana dakwahku itu, Tiada upahku melainkan terserah kepada Allah dan aku tidak akan mengusir orang-orang yang telah beriman, kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka, tetapi aku memandang kamu satu golongan orang-orang yang tidak mengerti. (Hud: 29)
HURAIAN
Dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh a.s. tidak menuntut kepada upah atau wang ringgit sebaliknya adalah meminta mereka supaya beriman. Sifat kenabian yang mulia ini yang tidak membezakan di antara kalangan hartawan dengan golongan bawahan untuk menyampaikan dakwah yang suci.
Sikap para pembesar kaum Nabi Nuh a.s. menuntut atau menyarankan kepada beliau supaya mengusir golongan pengikut-pengikut muslimin yang miskin yang berada di sekeliling beliau, agar mereka dapat berfikir untuk beriman kepada beliau kerana mereka merasa segan dan jijik untuk berkumpul bersama golongan miskin di majlis mereka.
Mereka sebenarnya tidak mengetahui nilai-nilai yang sebenar, yang menjadi ukuran manusia dalam neraca pertimbangan Allah s.w.t.. Mereka juga sebenarnya tidak mengetahui bahawa seluruh manusia akan dikembalikan kepada Allah s.w.t..
KESIMPULAN
Islam tidak membezakan antara umatnya dalam setiap perkara yang dilakukan agar ikatan ukhuwah akan bertambah. Setiap perkara yang dilakukan memerlukan kesabaran dan jangan sampai menimbulkan bibit perpecahan.