Blog EntryUnsur lucah internet bahaya, memudaratkanOct 16, '07 8:31 PM
for everyone

Unsur lucah internet bahaya, memudaratkan

Obsesi layari talian tanpa sempadan wajar dibendung

KES kehilangan Nurin Jazlin pada awalnya disangkakan sebagai pendua kepada kes kehilangan Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, April lalu. Namun, apabila mayatnya ditemui dan disahkan melalui ujian DNA, seluruh negara diburu trauma kerana begitu zalimnya penjenayah seksual menyerang Nurin.

Malah, kes Nurin mengembalikan ingatan kita kepada kes Nurul Huda Ghani yang diperkosa dan dibunuh pada Januari 2004.

Jelaslah bahawa kes Nurin bukan isu terpencil kerana mengikut rekod polis, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, ada 319 kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun masih hilang. Malah, sejumlah 6,270 kanak-kanak di bawah kategori usia yang sama dilaporkan hilang sejak Januari 2004 hingga Mei 2007.

Ia amat menggerunkan apabila kita sedar bahawa kes Nurin hanyalah satu kes daripada ribuan kes yang direkodkan polis. Namun, persoalannya mengapa wujud manusia yang bertopengkan haiwan sedemikian di kalangan masyarakat kita.

Kes pembunuhan Nurin boleh disimpulkan sebagai gejala pedofilia atau pencabulan seksual ke atas kanak-kanak yang dikaitkan dengan 'kecelaruan rangsangan seksual'.

Ia menjadi lebih tragis kerana gejala pedofilia ini datang serangkai dengan gejala sadisme sehingga pelaku sanggup menyeksa mangsa yang masih kanak-kanak.

Sifat kebinatangan inilah yang dilihat sebagai 'sandisme' melestari nikmat palsu ketika melihat mangsa kesakitan.

Dalam kes Nurin, ia bertambah sadis apabila pelaku langsung hilang pertimbangan kemanusiaan sehingga mayat mangsa dilipat-lipat ke dalam beg dan dicampak begitu saja di tempat awam. Hanya orang yang tidak siuman sanggup melakukan perbuatan seperti itu.

Malang dan anehnya, penjenayah seperti itu adalah manusia 'dua personaliti' yang dilihat normal dalam sfera sosial dan pergaulannya. Dengan itu kita menjadi payah untuk mengenali mereka.

Banyak penjelasan yang boleh dijadikan hipotesis. Namun, saya suka mengangkat teori Cass Sunstein (2001) mengenai gejala obsesi yang dirangsangkan oleh internet kerana sifatnya yang 'merdeka', tiada tapisan, amat peribadi dan selalunya khalayak bersendirian dengannya.

Kita sedar bahawa internet bukan saja menjadi sumber maklumat, malah ia juga dilihat sebagai tempat lambakan maklumat � daripada maklumat bersifat keilmuan sehinggalah kepada unsur pornografi.

Bayangkan seorang remaja yang membuka e-melnya didatangi oleh 'spam' (bahan buangan) atau iklan berunsurkan seks, sama ada secara 'imbasan' atau 'pop ups', atau sememangnya dikirimkan kepada alamat e-melnya tanpa dipinta.

Hal ini, bukan perkara luar biasa kerana alamat e-mel bukan menjadi rahsia awam. Soalnya sekarang sama ada remaja berkenaan mahu cuba meneroka laman web iklan terbabit atau terus membuangnya dan mengisytiharkan sebagai �spam�.

Namun, antara punca mengheret seseorang itu kepada gejala seksual pedofilia ialah naluri ingin tahu serta pengharapan yang menghantui dan berlegar pada mindanya. Maka, kebarangkalian seseorang itu terangsang untuk terus meneroka laman web sedemikian amatlah tinggi kerana keadaan bebas, peribadi, dan berseorangan; kecualilah jika khalayak sedar dan insaf mengenai gejala negatif itu yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai budaya.

Namun, bagi manusia remaja yang disifatkan oleh sarjana psikologi sebagai berada dalam zaman 'tegang dan revolusioner', pastinya naluri ingin tahu itulah yang lebih dominan.

Sunstein mengkaji sifat internet sebagai suatu masa yang boleh mengheret khalayak meneroka jauh ke suatu dimensi yang memisahkan mereka dengan masyarakat awam kerana khalayak boleh 'membuat tempahan kandungan' atau apa yang Sunstein istilahkan sebagai cunstomisation of content.

Apatah lagi khalayak dipermudahkan pula dengan teknologi 'hiperlink' internet yang membolehkan mereka mencapai laman web lain yang menawarkan bahan sama, tetapi berlainan inti patinya. Dengan kata lain, menerusi 'hiperlink', khalayak disajikan dengan pilihan lain, tetapi atas falsafah dan konsep sama.

Pada mulanya remaja itu hanya dijemput serta dimaklumkan mengenai alamat laman web dan apa yang terkandung dalamnya. Kemudian selepas lawatan dibuat, ia disajikan dengan visual dan video tertentu yang menjurus kepada tarikan yang lebih teruja lagi.

Melihat daripada teori Sunstein, dalam konteks laman web yang berunsurkan seks itu, pelawat akan diberikan ribuan pilihan visual dan video pornografi. Kemudian perlahan-lahan menjurus kepada pilihan kandungan yang ekslusif mengikut tempahan masing-masing.

Proses ini berlarutan sehingga pelawat juga boleh memilih bahan visual dan video pornografi perempuan/lelaki dewasa, remaja atau kanak-kanak. Proses persembahan yang bersifat deduktif itu akan terus berlangsung untuk terus merangsang pelawat.

Gejala 'customisation' sedemikian itulah yang menurut Sunstein, akan mengheret pelawat atau khalayak laman web berkenaan perlahan-lahan, saban hari dan lama-kelamaan, menjadi obseskif dan terasuk jiwa raganya. Tidak cukup dengan elemen audio, visual dan video, remaja berkenaan mungkin mahu merasainya melalui pengalaman langsung.

Namun, menurut Sunstein lagi, proses obsesi itu tidak akan tamat begitu saja, ia akan berterusan sampai bila-bila sehingga menjadikannya manusia dua personaliti; di hadapan masyarakat, dia manusia normal yang sempurna akalnya, tetapi ia menjadi 'haiwan' ketika bersendirian atau ketika gejala obsesi itu berlangsung secara bawah sedar.

Lebih membahayakan bagi Sunstein, sekiranya pelawat internet sedemikian mula membina koloni mereka sendiri daripada khalayak yang mempunyai minat dan kecenderungan sama. Pada peringkat ini, menurut Sunstein mereka menjadi �musuh� kepada kumpulan lain yang tidak sealiran dengan mereka.

Kita boleh lihat gejala ini dalam kes mat rempit, agama sesat 'Ayah Pin' dan lain-lain. Dalam teorinya Suntein mengistilahkannya sebagai gejala 'balkanisasi' kerana mengambil fenomena negara Balkan yang menjadi ganas sesama mereka selepas diberikan kemerdekaan.

Gejala pedofilia ini amat tinggi kadarnya di negara miskin, kerana kanak-kanak amat mudah dijadikan mangsa dan di negara maju pula diasak oleh masalah penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak.

Namun, dalam konteks sama, selepas menyelami teori Sunstein, saya lihat bahawa gejala ini tertanggung juga oleh kebebasan 'tanpa tapisan' internet.

Pernah suatu ketika pada 1996, saya terkejut dan marah melihat kanak-kanak sekolah di perhentian bas bandar Temerloh mengedarkan gambar lucah sesama mereka yang dimuat turunkan daripada internet.

Bayangkan bagaimana kanak-kanak atau remaja yang dibincangkan di atas, menjadi kian dewasa dengan obsesi seksual sedemikian.

Jalan terbaik untuk mengatasi gejala obsesi ini ialah penghayatan terhadap ajaran agama, menolak jauh elemen hedonisme di kalangan masyarakat kita, memantau aktiviti anak remaja kita dan kerjasama sesama ahli masyarakat untuk 'menjaga tepi kain orang' atau lebih manis jika dikatakan sebagai 'mengambil berat'.

Bagaimanapun, pihak berkuasa hendaklah sedar bahawa pedofil (pelaku pedofilia) adalah juga penjenayah yang hilang pertimbangan akal yang waras, ia boleh saja menjadi ganas dengan sesiapa saja. Oleh itu, pembabitan ahli masyarakat untuk membantu pihak berkuasa hendaklah disertai oleh jaminan perlindungan polis.

Selain daripada itu, 'kebebasan mutlak internet dalam konteks kandungan pornografi yang boleh menyebabkan obsesi seksual dan bersifat kehaiwanan itu hendaklah dihalang dengan cara yang harus difikirkan wajar oleh pihak berkuasa.

Mungkin Mimos tahu pendekatannya. Di England, sesiapa yang melayari laman web 'pedofilia' akan menjadi subjek pemantauan pihak polis. Memuat naik segala elemen yang berkaitan dengannya adalah suatu jenayah di negara maju itu. Nampaknya banyaklah paradoksnya kebebasan dan kemerdekaan 'internet' ini.


Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help