Sekolah biar jadi gedung ilmu lebih menyeronokkan


APABILA berada di perantauan, antara perkara paling menarik yang sering mendapat perhatian golongan pendidik ialah sistem pendidikannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan awal adalah antara faktor membentuk sahsiah generasi muda.

Masyarakat kita hari ini dilihat begitu mementingkan kecemerlangan akademik, yang pastinya itu bukanlah satu tuntutan yang salah, malah dalam Islam juga kita digalakkan untuk sentiasa membina potensi diri, meningkatkan kualiti ilmu supaya berkemampuan memperbaiki diri, keluarga dan membantu orang lain.

Pastinya, apa yang kita lakukan hari ini adalah selaras dengan apa disarankan agama. Namun, dalam keasyikan kita mengintai dan mengulit kecemerlangan akademik, masyarakat hari ini dilihat menjadi semakin bersikap individualistik.

Individualistik dari segi memastikan diri sendiri mencapai kecemerlangan yang diimpikan dan tidak langsung menyemai sikap individualistik ini dalam pembentukan sahsiah diri.

Yang cemerlang dipuji, yang tidak cemerlang seakan-akan dibenci. Hal sama, bukan hanya terjadi di kalangan rakan taulan, tetapi juga di kalangan ibu bapa yang pastinya lebih girang mencanang kecemerlangan akademik anak berbanding hal yang lebih penting.

Anak cemerlang selalu dicanang, tetapi anak yang baik budinya kurang pula mendapat perhatian. Pembinaan sahsiah yang mulia untuk jangka masa panjang bukanlah satu perkara mudah untuk dipastikan.

Kita dengar hari ini, berapa ramai pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) mahupun graduan yang cemerlang akademiknya, tetapi senteng keteguhan sahsiah Timur dan imannya.

Pastinya sebagai pihak luar, kita tidak berkuasa untuk menentukan salah dan betul orang lain, tetapi pemerhatian hari ini menunjukkan perlunya satu tindakan drastik yang berkesan diambil untuk membetulkan keadaan ini atau paling tidak membaik pulih sistem sedia ada.

Sistem pendidikan adalah aspek paling asas yang membentuk cara berfikir dan personaliti generasi muda. Memang benar proses mewarnai kain putih ini bermula dari rumah, tetap sokongan daripada sistem pendidikan awal turut memberi kesan besar kepada golongan muda.

Menerusi pemerhatian awal, didapati sistem pendidikan di United Kingdom lebih cenderung menyemai rasa cinta diri (keyakinan diri) di kalangan pelajarnya, selain unsur akademik yang lain seperti membaca, menulis dan mengira.

Aspek keselamatan asas seperti berenang turut menjadi satu silibus penting pendidikan peringkat sekolah rendah. Jumlah mata pelajaran yang jauh lebih sedikit berbanding di Malaysia, dengan pendekatan pembelajaran berbentuk praktikal membuatkan pendidikan di sekolah menjadi amat menggembirakan. Bayangkanlah jika bercuti itu adalah lebih membosankan daripada belajar di kelas!

Dalam lima hari persekolahan, pelajar Tahun Satu misalnya cuma membawa sebuah buku sehari serta bekal makanan tengah hari; Isnin, pelajar perlu membaca sebuah buku cerita; hari kedua, menyelesaikan masalah berbentuk matematik; Rabu, kelas berenang dan Khamis dan Jumaat, belajar membaca lagi.

Kelas juga dimulakan dengan permainan luar dan beberapa masa senggang antara waktu belajar digunakan untuk permainan dalaman. Pada akhir sesi akademik, pelajar �dibelanja� menonton wayang oleh sekolah dan pergi beramai-ramai dengan guru kelas masing-masing.

Pelajar dilihat amat berkeyakinan tinggi, berupaya menzahirkan perasaan dengan baik dan berkeupayaan bekerja dalam kumpulan dengan berkesan.

Amat berbeza dengan sistem yang kita ada sekarang nampaknya. Bukanlah bijak untuk kita melihat dan mengatakan kelebihan sistem di luar negara berbanding negara sendiri, namun amat bijak sekiranya kita sentiasa bermuhasabah diri, melihat kekuatan orang lain, meneliti sistem yang baik untuk diterapkan dalam sistem sedia ada.

Sistem pendidikan kita yang agak rigid memerlukan rombakan, agar tiada lagi pelajar sekolah rendah yang liat dan menangis untuk ke sekolah. Biarlah sekolah dilihat setara dengan padang permainan atau pusat yang menggembirakan hati golongan muda ini.

Diharapkan rombakan yang sesuai dengan budaya tempatan akan memberi peluang untuk sistem pendidikan Malaysia melahirkan pelajar yang yakin diri dan berupaya membentuk personaliti yang seimbang dengan kecemerlangan diri serta menyumbang ke arah pembangunan modal insan.



Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help