Mentaati ibu bapa tanpa akta khas
Institusi keluarga akan hancur jika anak abai tanggungjawab jaga orang tua
KES membabitkan suami atau ayah mengabaikan tanggungjawab nafkah kepada anak dan isteri bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Oleh itu, kita selalu mendengar tuntutan nafkah diajukan isteri sama ada tuntutan memohon nafkah edah atau nafkah anak selepas cerai yang berada dalam jagaan bekas isteri.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini kita mula melihat perubahan dalam masyarakat dengan kes ibu bapa sudah tua mengheret anak ke mahkamah kerana mengabaikan mereka. Ia berlaku sama ada anak menghalau ibu bapa dari rumah yang didiami atau menghantar mereka ke rumah orang tua.
Dari sudut perundangan Islam di Malaysia, tiada undang-undang khusus memperincikan tanggungjawab anak menyara dan memberi kasih sayang kepada orang tua mereka melainkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri yang memperuntukkan secara umum mengenai tanggungjawab nafkah.
Peruntukan itu menyatakan bahawa mahkamah syariah boleh memerintahkan orang yang menanggung nafkah orang tertentu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada orang itu jika dia tidak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya, daripada mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuan orang itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.
Namun begitu, secara tafsirannya ia merujuk dan hanya terhad kepada pembayaran nafkah kepada anak dan ia boleh termasuk kepada ibu bapa dalam keadaan tertentu. Ia tidak merangkumi elemen lain seperti memberi kasih sayang, adab sopan, menghargai dan menghormati kedua-dua orang tua.
Jika kita mengkaji hukum syarak, kita akan dapati aspek penjagaan ibu bapa tidak hanya terhad kepada peruntukan nafkah lahiriah semata-mata. Ia mencakupi ruang lingkup lebih luas.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu janganlah menyembah kecuali Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika salah seorang atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di bawah jagaanmu, maka jangan kamu sekali-kali menyatakan kepada mereka walaupun perkataan ‘oh’. Dan janganlah kamu mengherdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (lagi sopan). Dan rendahkanlah diri kamu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan sambil berdoa, “Ya Tuhanku kasihanilah mereka berdua, seperti mereka berdua mencurahkan kasih sayang mendidik aku ketika kecil.” (Surah al-Israa, ayat 23 dan24)
Al-Dailami meriwayatkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Jika ada suatu dosa yang lebih rendah daripada ucapan ‘oh’ kepada kedua-dua ibu bapa, maka sudah tentu Dia akan melarangnya. Maka orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa itu boleh buat apa saja yang dia kehendaki, namun dia pasti tidak akan masuk syurga. Begitu pula orang yang mentaati kedua-dua ibu bapanya, boleh lakukan apa saja, maka pasti dia tidak akan masuk neraka.”
Ibnu Umar pernah melihat seorang lelaki mendukung ibunya ketika bertawaf mengelilingi Kaabah (dengan penuh kesukaran) lalu orang itu bertanya kepada Ibn Umar, “Wahai Ibnu Umar! Apakah dengan cara begini aku dapat membalas jasa ibuku? Jawab Ibnu Umar: Engkau tidak akan dapat membalas jasa ibumu itu sekalipun, ia hanya sedikit. Namun begitu engkau membuat kebaikan kepadanya dan moga-moga Allah memberimu ganjaran daripada yang sedikit dengan pahala yang banyak.”
Walaupun amaran Allah dan Rasul-Nya mengenai azab tidak mentaati kedua-dua ibu bapa itu jelas, kenapa masih ramai yang melupai tanggungjawab terhadap orang tua mereka?
Ingatlah bahawa ibu mengandungkan kita dalam rahimnya, dia melalui pelbagai kesulitan ketika hamil dan kesakitan yang amat sangat ketika melahirkan kita. Ayah pula bekerja keras mencari rezeki menyara kehidupan berkeluarga yang diberkati Allah. Ibu kemudian menyusukan kita, memandikan dengan tangannya dan membuang segala kotoran dan najis daripada badan kita tanpa sedikit pun perasaan mual atau jijik.
Tetapi apabila ibu bapa lanjut usia, badannya lemah dan memerlukan bantuan kita, tergamak pula kita memperlakukan mereka dengan perbuatan yang hina. Tidak menghiraukan kebajikan mereka malah mencemuh dengan kata-kata kesat yang menghiris perasaan mereka.
Inilah realiti hari ini yang dilakukan sebahagian daripada anggota masyarakat. Walaupun kadarnya tidak begitu besar, ia cukup membimbangkan kerana institusi keluarga yang menjadi asas kecemerlangan negara akan hancur berkecai.
Undang-undang yang ada sekarang bersifat umum dan lebih menumpukan aspek pembayaran nafkah saja. Undang-undang tidak menyentuh hal ehwal kasih sayang, hormat-menghormati dan ketaatan kepada kedua-dua orang tua. Tetapi ia bukanlah alasan bagi anak untuk tidak menghormati dan mentaati kedua-dua orang tuanya.
Sering juga kita ikuti kisah anak menghantar orang tua ke rumah kebajikan atas alasan tidak mampu menjaga mereka. Keadaan ini diburukkan lagi apabila sudahlah menghantar orang tua ke rumah kebajikan, si anak pula duduk bersenang-lenang di rumah masing-masing, tidak ambil kisah langsung akan keadaan orang tuanya di rumah kebajikan itu dan langsung tidak melawat mereka lagi.
Jika keadaan begini menjadi kian teruk, tidak mustahil undang-undang akan memperincikan hak dan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa mereka demi menjaga institusi keluarga yang saban hari kian rapuh.
Apabila keadaan sebegini berlaku pasti ia akan menyusahkan kehidupan seharian dan perlakuan sedemikian sudah tidak lagi berasaskan kepada ketulusan dan keikhlasan membalas budi kedua-dua orang tua.
Biarlah kita mentaati ibu bapa tanpa dipaksa oleh undang-undang. Biarlah kita berkhidmat kepada ibu bapa atas sukarela. Biarlah kita memelihara ayah dan ibu atas ketulusan hati tanpa campur tangan undang-undang.
Amat malu bagi keseluruhan masyarakat jika keadaan ini dikanunkan sebagai undang-undang. Nilai kemanusiaan semakin hari semakin terhakis daripada dalam diri manusia akibat mengejar kemodenan. Tidak salah mengejar kemodenan tetapi ia mesti berteraskan hukum syarak. Jangan kita lupa bahawa syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu.