Blog EntryHukuman pemberi, penerima rasuah samaMay 27, '07 11:15 PM
for everyone

Hukuman pemberi, penerima rasuah sama


ISLAM melarang keras amalan rasuah sama ada pada pihak pemberi atau penerima. Sebab tanpa pemberi, makatiada penerima dan begitulah sebaliknya. Amalan rasuah tidak akan berlaku jika dilakukan satu pihak saja.

Rasuah sangat berat dan besar dosanya kerana boleh mengakibatkan orang yang berhak tidak mendapat haknya sedangkan yang tidak berhak memperoleh hak itu. Misalnya, dalam mencari pekerjaan, orang tidak layak tetapi sanggup memberi rasuah akan memperoleh pekerjaan dan yang berhak tetapi tidak menghulur rasuah, tidak memperoleh pekerjaan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk neraka.” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Apabila ada amaran daripada Nabi Muhammad SAW dan firman Allah dalam al-Quran bahawa amalan rasuah boleh menyebabkan masuk neraka, ia termasuk dalam salah satu dosa besar dan hukumannya haram di sisi Islam.

Kedua-dua pemberi dan penerima rasuah akan menerima hukuman sama tanpa sebarang pengecualian. Justeru, untuk mewujudkan umat dan negara maju, amalan rasuah perlu dibersihkan. Apabila rasuah diamalkan, keadilan tidak dapat ditegakkan atau seseorang yang jujur boleh kehilangan haknya. Beginilah besarnya akibat rasuah jika ia dijadikan amalan dalam kehidupan.

Dari segi psikologi, tiada sebab nyata yang boleh diberikan tanpa manusia membabitkan diri dengan rasuah. Bagaimanapun, secara umumnya perbuatan memberi dan mengambil rasuah boleh dikaitkan dengan personaliti individu yang tidak tegas dalam kehidupan.

Personaliti atau peribadi lahir daripada didikan awal yang diterima dan persekitaran di mana dia membesar. Dengan kata lain, didikan ibu bapa menanamkan nilai agama atau nilai murni lain kepada anak akan melahirkan individu berprinsip dan memiliki personaliti teguh.

Katakanlah setiap kali ibu bapa mahu keluar bekerja si anak menangis, lalu ibu bapa menjanjikan anak hadiah atau ganjaran jika berhenti menangis. Perbuatan ibu bapa sebegini boleh, bahkan kadang kala perlu dilakukan. Tetapi, jika kerap hingga menyebabkan anak berasakan dengan menangis dia akan dikurniakan pelbagai ganjaran, tentulah perbuatan itu melampau.

Inilah bibit amalan yang diterapkan sejak peringkat awal kehidupan tanpa disedari. Kemudian ia diamalkan sehingga dewasa walaupun manusia mengetahui rasuah itu salah dan haram. Perbuatan rasuah dikutuk dengan kerasnya oleh Allah.

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad yang maksudnya: “Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberi jalan terhadap kedua-duanya.”

Al-Quran juga tidak senang dengan perbuatan rasuah dan banyak ayat melarang perbuatan terkutuk antaranya, “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (salah).” (Surah al Baqarah, ayat 188)

Keterangan hadis dan nas tadi jelas membuktikan betapa serius larangan Islam terhadap perbuatan keji itu. Kutukan bukan saja terbatas kepada penerima, malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah.

Larangan rasuah ditekan Islam dalam tiga institusi terpenting dalam hidup bernegara dan berorganisasi iaitu politik, pengurusan negara dan kehakiman. Dalam ruang lingkup inilah Islam menekankan seberat-berat kewajipan setiap mereka supaya berlaku adil, amanah, jujur dan jauh daripada rasuah.

Contohnya, dalam hal kehakiman Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat mereka yang menerima rasuah itu dalam kehakiman.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ar Tarmizi)

Untuk mengelakkan amalan rasuah, al-Quran menyediakan beberapa langkah antaranya mengharamkan sama sekali segala kegiatan rasuah dan ancaman balasan seksa yang amat pedih di akhirat terhadap pemberi, penerima dan mereka yang bersubahat dengannya di akhirat.

Meningkatkan keimanan dan ketakwaan serta ihsan. Seseorang itu beranggapan perbuatan, perkataan, malah niat atau lintasan hatinya, semuanya tertakluk kepada ilmu dan penglihatan Allah bukan sekadar takut di tangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Al-Quran secara tegas menggalakkan pengumpulan kekayaan harta asalkan ia tidak menggugat dan merampas hak orang lain khususnya rasuah. Menjelaskan falsafah kepentingan kebendaan dalam kehidupan manusia itu sendiri ialah sebagai alat untuk beribadah atau menghampirkan diri kepada Allah.

Kefahaman ini dapat menghapuskan sikap tamak, rakus, riak dengan harta hingga terbabit amalan rasuah. Sebenarnya harta kekayaan yang direbut manusia adalah amanah daripada Allah yang berfirman yang bermaksud: “Kamu sesungguhnya akan diuji terhadap harta dan dirimu.” (Surah al Anfal, ayat 27)

Keimanan kepada hari akhirat penting. Ia harus disemat dihayati, dijiwai dan diamalkan. Lebih-lebih lagi kebahagiaan hidup di dunia ini menurut al-Quran bukanlah semata-mata ditentukan kekayaan kebendaan tetapi kekayaan iman dan takwa.

Setiap kakitangan pengurusan organisasi diwajibkan oleh Islam memahami, menyedari dan menghayati tugas dan tanggungjawab mereka. Jawatan yang disandang itu adalah amanah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang mukmin, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan janganlah pula mengkhianati amanah yang dipercayai kepadamu sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al Anfal, ayat 27)

Islam akhirnya meletakkan tanggungjawab dalam usaha membanteras amalan rasuah kepada pihak pemerintahan atau pihak berkuasa. Pemerintah secara langsung bertanggungjawab menghapuskan segala kemungkaran. Perbuatan rasuah dipersetujui oleh seluruh agama dan bangsa di dunia ini sebagai salah satu penyakit sosial yang berbahaya. Ia ibarat barah yang boleh meruntuhkan kerajaan.

Sejarah rasuah bermula sejak tamadun manusia mengenal pemerintahan dan hidup bernegara. Ia terus menjadi fenomena dari zaman ke zaman. Ia tidak mungkin dapat dibanteras sama sekali tetapi wajib dikawal. Sesungguhnya pengawalan bukan saja terletak dibahu kerajaan tetapi menjadi tanggungjawab setiap individu.




Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help