Toleransi dalam Islam
TIDAK berdosa (kerana tidak pergi berjihad) atas orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa pun yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.
Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (at-Taubah: 91)
HURAIAN
Allah s.w.t. menerangkan tentang keringanan yang diberi kepada orang-orang yang tidak dapat turut serta melakukan wajib jihad iaitu disebabkan uzur.
Di antara uzur-uzur itu ialah kelemahan jasmani, atas faktor usia yang telah lanjut atau berpenyakit, cacat anggota badan seperti buta, tempang, lumpuh atau disebabkan kemiskinan yang tidak memberinya kesempatan untuk memperoleh apa yang diperlukannya untuk bekalan diri sendiri serta meninggalkan di rumah untuk nafkah hidup.
Mereka ini diberikan keizinan tidak menyertai jihad dan mereka ikhlas, jujur dan benar dalam alasan uzur yang mereka kemukakan. Mereka juga perlu menjaga ketenteraman dan ketenangan. Mereka juga tidak boleh sama sekali menyiarkan isu-isu yang dapat melemahkan semangat jihad di antara kaum muslimin.
Ayat ini menyatakan bukanlah seorang Islam itu cuba untuk mengelak daripada berjihad. Sebaliknya diberi keizinan dari Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. untuk tidak turut serta walaupun sebahagian mereka mempunyai semangat yang cukup kuat dan murni untuk bersama Rasulullah di medan jihad.
Tidaklah menjadikan satu kesalahan kepada mereka itu sebaliknya Allah s.w.t. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang atas tiap-tiap sesuatu itu.
KESIMPULAN
Sebagai seorang muslim semestinya meletakkan sepenuhnya kepatuhan kita kepada Allah s.w.t. walau di mana sahaja kita berada. Ikhlas dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab.
Perjuangan untuk meningkatkan maruah agama dan bangsa adalah matlamat setiap umat Islam. Namun demikian, Allah s.w.t. yang bersifat Maha Adil lagi Maha Penyayang. Memberikan sesuatu itu mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya termasuk yang uzur tetap diberi pahala yang setimpal kepada yang jujur untuk bersama-sama menjaga agama Islam itu sendiri.